Sejarah Program

Bersama Membina Kesejahteraan

 

Perjanan Program YBJB 1995 Hingga  2000

Pada peringkat awal operasinya, YBJB bergerak melalui sumbangan dana terkumpul berjumlah RM3.36 juta dari Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan badan-badan koprat.  Program YBJB tertumpu kepada Bantuan Kebajikan dan Pendidikan untuk meringankan beban golongan miskin dengan bantuan secara tunai “One Off”.  Kumpulan sasar meliputi golongan miskin dari seluruh Daerah Johor Bahru. Lebih 300 ketua isi rumah miskin menerima manfaat daripada program tersebut.

  • Program Dermasiswa ke IPT
  • Biasiswa Kecil Sekolah
  • Bantuan Ihsan dan perayaan
  • Kem Motivasi
  • Seminar Peperiksan UPSR, PMR dan SPM
  • Kelas Kemahiran Membuat Pakaian
  • Bengkel Memproses Makanan

 

Perjanan Program YBJB 2001 Hingga 2004

Pada tahun 2001, YBJB menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLB) untuk melaksanakan Program Sokongan Pendidikan Pelajar Miskin di Daerah Johor Bahru.  Program ini dilaksanakan di bawah nama Projek Skim Anak Angkat Yayasan Bandaraya Johor Bahru.  Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan taraf pendidikan dan kecemerlangan pelajar sekolah dari keluarga-keluarga miskin. Penubuhan program ini diharap dapat mengubah pendekatan bantuan dari bantuan berbentuk tunai kepada bantuan program melalui konsep pemberian kail dan sampan. Usaha ini telah berjaya melahirkan para pelajar dari golongan keluarga miskin yang cemerlang dan dapat meneruskan pendidikan mereka ke universiti dan kolej di dalam dan di luar negara.  Di antara program – program yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh ini adalah seperti berikut:

  • Kem “Easy Math”, “Smart Science”, Seminar Pendidikan Islam
  • Kelas Persediaan Peperiksaan
  • Bengkel Teknik Menjawab Peperiksaan UPSR, PMR dan SPM
  • Bengkel Akademik dan Sahsiah
  • Seminar Aritmetik Mental dan Sempoa
  • Kem Motivasi “Smart Student”
  • Bengkel Kemahiran Komputer
  • Bantuan Ihsan dan perayaan

 

Perjalanan Program YBJB 2005 Hingga 2009

Yayasan Bandaraya Johor Bahru menerima peruntukkan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meneruskan Projek Skim Anak Angkat YBJB pada tahun 2005. Lebih 1000 orang ahli isi rumah miskin telah mengikuti program-program Skim Anak Angkat YBJB pada tahun 2005.  Selain daripada program ini, pendekatan pihak Kementerian telah berubah dengan pelancaran Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB). YBJB telah diberi tanggung jawab untuk mengurus dan melaksanakan program PPKB di bawah kawasan pentadbiran MBJB. Skop pelaksanaan program PPKB dan Skim Anak Angkat di hadkan bagi keluarga miskin yang menetap dalam kawasan MBJB sahaja.

Program PPKB  Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan:

  • Bantuan Sewa Rumah
  • Bantuan Kemasukan ke Sekolah dan IPT
  • Bantuan Kos Pengangkutan Kesekolah/ Kerja
  • Bantuan Kos Rawatan Dialisis
  • Bantuan Kursus Kemahiran
  • Bantuan Ihsan.

 

Perjanan Program YBJB 2010 Hingga 2011

Pengurusan Program PPKB telah berpindah ke Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) pada tahun 2010. KWPKB telah menyusun semula Program PPKB dan memperkenalkan program – program baru. Bantuan PPKB yang baru diperkenalkan pada tahun 2010 ialah Bantuan Sewa Rumah, Pembangunan Insan, Latihan Kemahiran Program Jana Pendapatan, Bantuan Peralatan Perniagaan Dan Lesen Perniagaan, Peluang Pekerjaan dan Bantuan Kesejahteraan Bandar.

Kerajaan Pusat juga telah mengambil langkah yang pro-aktif dengan memperkenalkan pangkalan data kemiskinan negara e-Kasih untuk menyelaras maklumat di antara semua agensi pemberi bantuan. Yayasan Bandaraya Johor Bahru turut terlibat dalam usaha membanci dan mengumpul data maklumat keluarga miskin untuk didaftarkan ke dalam sistem e-Kasih.

Mulai tahun 2011, Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bukan sahaja memberi penekanan kepada program‐program yang dapat memberi penambahan pendapatan kepada keluarga miskin, tetapi turut memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup golongan miskin. Mengambil kira perumahan sebagai satu keperluan asas, di bawah RMK‐10 KWPKB menyediakan bantuan perumahan bandar yang bertujuan membaik pulih atau membina baru rumah golongan sasar yang telah buruk, usang atau mengalami kerosakan.